Quantcast
Channel: Projek Dialog » Zul Fikri Zamir
Viewing all articles
Browse latest Browse all 10

Menentang Cinta Taj Mahal

$
0
0

To go away,
As they are hyena-men and panther-men, I would be jew-man
A Kaffir-man
A Hindu-man-from-Calcutta
A Harlem-man-who-doesn’t-vote

the famine-man, the insult-man, the torture-man you can grab anytime, beat-up, kill-no joke, kill-without having to account to anyone, without having to make excuses to anyone
a jew-man
a pogrom-man
a puppy
a beggar*

Dari Borobudur di Jogjakarta sehinggalah Brandenburg Gate di Berlin, tak pernah aku rasa begini ketika menjejak tanah Akbarabad. Tak, tak ada orang kenal Akbarabad. Tapi orang kenal Agra.

Di tanah ini, masa menjadi kaku tatkala melihat kemanusiaan di celah-celah kasarnya semangat untuk hidup. Berdiri di hadapan Taj Mahal, terpaku dan termangu, apa ertinya Cinta? Apakah wujud Cinta sebenarnya? Bagaimanakah rasanya Cinta? Jika Cinta itu benar dan wujud serta boleh dirasai, mengapakah manusia masih melarat dan terjerumus memukul, membunuh, memancung dan menyembelih sesama sendiri?

Tolstoy sendiri, dalam The Devil tidak dapat memutuskan ‘apakah sebenarnya cinta’ dengan menyerahkan kepada pembaca untuk memilih samada membenarkan Eugene yang tersiksa dengan cinta untuk membunuh dirinya sendiri atau membunuh Stepanida, kekasih gelap, sang perempuan miskin, lambang cinta dengan hawa nafsunya. Dalam catatan hariannya dikhabarkan, Leo Tolstoy pernah menulis; ‘aku tidak tahu apa yang orang maksudkan dengan cinta,’.

Menginjak tanah bekas dinasti Mughal, dikelilingi lembu yang berkeliaran tanpa pemilik, diselangi bunyi hon bajaj, di tengah simpang yang direbut semua penunggang basikal, kereta, van, penunggang motor mahupun lori 8 tan – mengingatkan aku kepada soalan; Apa yang manusia cari sebenarnya?

Usai Perang Dingin, peningkatan ekstremis agama mencacatkan sejarah kemanusiaan dengan konflik peradaban berselirat di antara kemodenan dan tradisionalis. Apakah ini ‘The Gilded Age’, atau seperti diceritakan oleh Mark Twain atau Charles Dudley Warner melalui ‘A Tale of Today’ pada 1873, atau seperti disebut-sebut oleh sang profesor Thomas Piketty di Paris School of Economics, ‘a second Bella Opaque’ sebagai zaman kemunculan golongan 1 peratus?

Kemanusiaan?

Apakah yang memandu manusia zaman ini? Sepanjang sejarah, manusia berganti-ganti membunuh dan berperang atas nama Tuhan. Di India sendirian, apakah sejak zaman Maurya, Gupta, Chalukya, Pala membawa ke dinasti Mughal, manusia minta dilahirkan untuk berperang? Apakah Tuhan lahirkan seseorang itu untuk memakan manusia lain?

Sepanjang empat jam perjalanan pulang dari Agra menuju Delhi, persoalan-persoalan ini memahat kepala dan otak dengan begitu padat dan laju, serentak dengan ritma lelaki-lelaki perindu daerah Uttar Pradesh ini pulang dari kerja.

Di Paharganj, anak kecil bermain dengan berlari mengejar satu sama lain di celah-celah lorong bangunan . Tanpa menghiraukan air kuning yang mengalir dari pundi kencing manusia yang berhenti dan melepaskannya di sudut-sudut bangunan, mereka tertawa riang tatkala membenarkan matahari memancar tepat ke dalam mata mereka.

Ada di antara anak kecil ini yang bekerja di hotel sekitar, menyapu dan menyediakan bilik-bilik yang akan dihuni lelaki dan perempuan Eropah. Ada di antara mereka yang tidak ke sekolah kerana perlu menjadi penghantar barang. Ada di antara mereka yang tidak pernah tahu wujudnya sekolah.

Tetapi mereka masih boleh tersenyum, tanpa menyedari mereka adalah sebahagian dari 6 juta anak kecil India yang tidak cukup nutrisi. Mereka masih boleh ketawa tanpa perlu runsing memikirkan kelak mereka perlu mengayuh beca sejauh 2km hanya untuk 20 rupees.

Delhi

Di Old Delhi, keturunan pembuat makanan diraja dinasti Mughal masih menjual makanan mewah istana di restoran mereka. Kari kambing ‘Paaya Nahari’ berharga 180 rupees boleh di dapati tidak sampai 300 meter dari Masjid Jama’, ketika wanita bertudung meminta sedekah di kaki lima restoran sambil mendukung anak kecil. Kadangkala diiringi empat atau lima anak kecil lain yang tidak berbaju.

Albert Camus di dalam makalahnya ‘Cinta dan Pemberontakan’ seperti yang disusun oleh A. M. Krich menulis; ‘pemberontakan tidak mungkin hadir tanpa cinta – dalam bentuknya yang asing itu…pemberontakan adalah cinta, kemajuan atau bukan apa-apa sama sekali,’. Beliau menyambung; ‘Revolusi tanpa kehormatan, revolusi yang diperkirakan dengan memilih antara konsep abstrak manusia atau tubuh nyata manusia – adalah sebuah gerakan yang menolak eksistensi manusia selama mungkin, dan menaruh dendam sebagai pengganti peranan cinta.’

Fariduddin ‘Attar, penyair yang menginspirasikan Rumi, pernah menulis mengenai sang kupu-kupu dengan lilin, seperti di kumpulkan oleh Muhammad Zaairul Haq. Menurut kisah tersebut, pada satu malam sang kupu-kupu berkumpul membincangkan mengenai penderaan rasa kasih dan rindu mereka terhadap sang cahaya iaitu lilin.

Kisah bersambung apabila sang kupu-kupu pertama pergi melihat cahaya lilin di sebuah istana dan kembali menceritakan apa yang dilihatnya, tetapi kemudian ditolak pendapatnya oleh sang kupu-kupu paling bijak yang menjadi ketua. Pergilah sang kupu-kupu kedua, kali ini semakin dekat namun kalah kepada panasnya lilin dan kembali menceritakan pengalamannya. Juga pada kali ini, pendapatnya ditolak; “Penjelasanmu benar-benar tidak lebih berharga dari kawanmu tadi.”

Fariduddin ‘Attar menyambung; “Kupu-kupu ketiga bangkit, ketagih oleh rasa cinta, maka dia melemparkan tubuhnya dengan keras ke dalam api lilin. Dia menggiring ke depan dan merentangkan sesungutnya ke dalam api. Setelah sepenuhnya memasuki pelukan api, anggota tubuhnya berkilauan merah seperti nyala api itu.”

“Ketika sang kupu-kupu bijak melihat dari kejauhan bahawa lilin itu telah menyatukan dirinya dengan sang kupu-kupu ketiga dan mulai memberinya cahaya miliknya dia berkata; kupu-kupu ini telah memenuhi hasratnya, tetapi dia sendiri yang memahami apa yang telah dicapainya, tak seorang pun yang lain mengetahuinya dan itulah erti sesungguhnya,”. Kisah ini diakhiri dengan penyataan, “Sepanjang kau belum mengabaikan jiwa dan ragamu, bagaimana kau akan mengenal objek yang kau cinta?”

Dan perjalanan menziarahi tanah bekas jajahan Dinasti Mughal ini menjadi semakin sukar. Paling sukar berdepan sebuah gagasan, arkitektur dan dambaan dunia mengenai cinta seperti Taj Mahal ini ialah realiti bahawa kuburan mega ini dibina dengan menindas kemanusiaan dengan mempergunakan nama – ‘Cinta’.

Cinta

Taj Mahal bukan lambang Cinta. Cinta bukan satu bentuk kemegahan. Cinta tidak dibina dengan menindas orang lain. Cinta bukan datang dari titik peluh kaum buruh dan karyawan. Cinta bukan materi untuk dipertontonkan. Cinta bukan seni arkitektur yang dibina dengan mengerat jari pengukirnya. Paling sukar untuk difahami, Cinta bukan dibina untuk memuja satu atau dua sosok raja yang akhirnya akan dimamah ulat tanah.

Dalam mazhab Cinta yang aku anuti, Cinta ialah apabila kita berani untuk memberi. Cinta ialah apabila kita berani untuk berhenti meminta. Cinta ialah; pabila seluruh deru nafas dan degup jantung untuk memberi, kepada si Dia, dan sudah tentu melalui sang kekasih, anak bangsa dan seluruh manusia.

Itulah Cinta paling dalam seperti difahami Cesaire, Camus mahupun Fariduddin ‘Attar, di dalamnya tiada perkataan ‘aku’, tetapi seluruhnya hanyalah untuk yang tercinta. Dan Tuhan tahu perasaan anak yang bekerja menyapu sampah hotel bajet di lorong kecil Paharganj, atau rintihan ibu mengandung yang meminta sedekah di kaki Masjid Jama’, serta mendengar teriakan pengukir Taj Mahal saat jarinya dikerat Shah Jahan – yang tidak mahu ada Taj Mahal kedua dibina.

Penulis mengunjungi Taj Mahal pada 28 Mac 2014 yang lalu dalam lawatan pendek beliau ke Kathmandu dan Delhi.

 

* Dipetik dari Notebook, Aime Cesaire, siri terjemahan versi 1956 seperti diambil oleh Mara de Gennaro, ‘Fighting Humanism on Its Own Terms, tersiar di ‘differences: A Journal of Feminist Cultural Studies.’

 

 

unnamed

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 10

Latest Images